Sunday, 8 September 2013

Apa yang saya belajar mengenai perpaduan dan mengaitkan dengan sejarah ......

                Menurut Abdul Rahman Abdul Rashid (1989), sejarah mengajar kita supaya tidak mengulangi kesalahan dan kelemahan yang menjadikan sesebuah negara itu mudah dijajah pemikiran, budaya dan negaranya . Sistem pendidikan , melalui sistem persekolahan, merupakan elemen yang penting bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah membangunkan masyarakat dari segi ekonomi, politik, dan sosial.  Sistem persekolahan bukan sahaja berperanan untuk memberi pelajaran kepada masyarakat semata-mata, bahkan ia merupakan saluran untuk menyampaikan kepada rakyat berkenaan dengan wadah perjuangan negara yang sangat mementingkan nilai-nilai murni dalam masyarakat berbilang kaum demi mencapai perpaduan. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama, dan adat resam di mana ia dikenali sebagai masyarakat majmuk. Pelaksanaan sistem pendidikan yang dijalankan perlu mengikut keperluan dan kesesuaian masyarakat Malaysia. Malah Pendidikan Sejarah merupakan salah satu mata pelajaran yang penting untuk memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam diri setiap pelajar , guru , ibubapa dan masyarakat setempat yang lain .Mungkin orang yang lebih tua daripada kita tidak sempat mempelajari Pendidikan Sejarah di sekolah akan tetapi semangat patriotisme serta peristiwa-peristiwa yang memberi sejarah kepada negara kita telah dapat menyedarkan mereka apa maksud perpaduan yang sebenar . Persoalannya ialah sejauh mana Pendidikan Sejarah berjaya memupuk perpaduan dan menyatupadukan masyarakat serta membina Negara Bangsa?

           Pendidikan Sejarah yang diajar di sekolah ataupun di tempat awam yang lain dapat mewujudkan ingatan bersama terhadap peristiwa sejarah sebagai rangka rujukan kesedaran kebangsaan dan persefahaman . Tanggal 13 Mei 1969 tercetus satu detik hitam dalam lipatan Sejarah Negara . Pertelingkahan kaum yang berlaku telah mengakibatkan negara kehilangan banyak nyawa dan kerugian harta benda. Ia mempunyai kaitan rapat dengan Pilihanraya Umum 1969 dan merupakan puncak manifestasi masalah perpaduan kaum di Malaysia. Dalam pilihanraya tahun tersebut banyak isu sensitif telah dibangkitkan dan ditimbulkan seperti bahasa kebangsaan , kedudukan istimewa orang Melayu dan hak kerakyatan orang bukan Melayu . Dalam pilihanraya tahun 1969 , Parti Perikatan gagal memperolehi majorirti dua per tiga dalam Dewan Rakyat manakala Parti Gerakan Dan DAP yang berjaya memperolehi sebanyak 25 kerusi telah mengadakan perarakan di Kuala Lumpur sambil menghina bangsa Melayu. Hal ini memberikan tamparan hebat kepada orang Melayu dan akhirnya UMNO telah mengadakan perarakan balas sebagai bantahan terhadap penghinaan parti DAP dan Gerakan. Dalam suasana tegang dan penuh emosi maka tercetuslah peristiwa 13 Mei 1969.  Peristiwa tersebut telah mengorbankan ramai orang dan telah mengakibatkan kerugian harta benda yang banyak. Ia juga telah menyebabkan negara kita telah menjadi tumpuan dunia. Sebenarnya, masalah 13 Mei ini merupakan masalah perpaduan yang telah lama berakar umbi dalam masyarakat majmuk Malaysia sebelum tahun 1969 lagi . Masalah ini telah disebabkan oleh British yang telah memainkan peranan yang cukup besar untuk mewujudkan keadaan sedemikian rupa .  Setelah peristiwa itu berlaku baru wujudnya Dasar Ekonomi Baharu serta Rukun Negara sebagai satu ikrar yang harus dipatuhi untuk menyelesaikan masalah perpaduan ini . Apa yang boleh saya jelaskan di sini adalah kesedaran tentang pentingnya perpaduan dan pembinaan Negara Bangsa bermula selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969 . Tegasnya , Pendidikan Sejarah juga dapat mewujudkan persefahaman antara kaum akan kesedaran yang diambil dari peristiwa rusuhan kaum sehingga berjaya menyatupadukan masyarakat dan membina Negara Bangsa.

              Berdasarkan Hj . Dr Syed Ibrahim(2012) berkaitan  sejarah kemerdekaan negara kita , penjuang kemerdekaan dahulu begitu memainkan aspek yang besar dalam memperjuangkan kemerdekaan di negara kita . Kita perlu tengok kebelakang dan memperbaiki serta menambah  nilai untuk masa depan yang lebih gemilang . Kejatuhan sesuatu bangsa juga disebabkan kurangnya mengkaji sejarah terdahulu . Kita ambil sedikit contoh mengenai mereka yang telah memperjuangkan kemerdekaan seperti Mat Salleh . Mat Salleh ini merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah . Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Syarikat Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897 . Dalam masa pertempuran itu , Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menemui ajalnya pada 31 Januari 1900 . Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan . Pada pendapat saya , Mat Salleh merupakan seorang pejuang yang berani dan sanggup mengorbankan nyawanya demi untuk membebaskan negerinya daripada dijajah British . Tegasnya , apabila kita mempelajari pendidikan sejarah , kita dapat bersyukur mempunyai pejuang kemerdekaan yang sanggup bergadai nyawa demi memerdekakan negeri-negeri mereka daripada penjajah . Selain itu , semangat patriotisme dan perpaduan antara masyarakat semakin utuh kerana menghargai jasa pengorbanan penjuang-penjuang kemerdekaan seperti Mat Salleh , Tok Janggut . Rentap dan sebagainya . Oleh itu , apabila kita mempelajari Pendidikan Sejarah , kita akan belajar mengenai penjuang-penjuang kemerdekaan  sekaligus dapat memupuk perpaduan dan pembinaan masyarakat yang bersatu padu dan membina Negara Bangsa yang wujud sehingga ke hari ini .   

         Menurut Dr Ishak Saat (2009) ,  Pendidikan Sejarah yang terdapat di Malaysia, memainkan peranan yang penting bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan manusia tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum. Sesungguhnya pendidikan yang ada pada hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum dan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat di negara ini  . Cuma masalah dari segi sekolah vernakular yang belum terhapus , akan tetapi perpaduan dan pembinaan Negara Bangsa telah berjaya di Malaysia buktinya sehingga kini Malaysia masih aman . Pembinaan Negara Bangsa telah berjaya sehingga kini kerana telah lahirnya pelbagai bangsa di Malaysia seperti Melayu , Cina, India dan lain-lain . Dari sudut perpaduan mungkin ianya belum berjaya lagi kerana sekolah-sekolah vernakular menjadi penghalang kepada perpaduan . Mungkin secara logiknya, perpaduan mungkin telah tercapai kepada sesetengah masyarakat, akan tetapi sekolah vernakular ini sepatutnya dihapuskan agar kanak-kanak mahupun remaja sudah mengerti erti perpaduan dengan lebih dekat semenjak kecil lagi melalui pengenalan mereka bersama masyarakat daripada pelbagai bangsa.. Tetapi kita masih bersyukur kerana bahasa pengantar adalah Bahasa Melayu , iaitu bahasa yang menyatukan kita semua . Apa yang saya maksudkan ialah jikalau Malaysia menjadikan semua bahasa sebagai bahasa pengantar maka sampai bila-bila kita tidak akan dapat berkomunikasi dengan masyarakat selain daripada kaum kita sendiri  . Oleh itu , apabila Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kepada Pendidikan Sejarah dan juga di Malaysia , ianya dapat memupuk perpaduan dan menyatupadukan masyarakat  sekaligus membina Negara Bangsa .

                  Menurut Maruwiah Ahmat (2010) , Mata Pelajaran Sejarah dapat memupuk jati diri, akal budi, semangat cintakan tanah air yang mendalam kepada setiap pelajar. Ia juga mempunyai kaitan dengan prinsip kedua dan ketiga dalam Rukun Negara iaitu melalui mata pelajaran Sejarah akan dapat memupuk kesetiaan kepada raja dan negara serta memahami keluhuran perlembagaan . Melalui pendidikan Sejarah juga seseorang itu akan memahami keluhuran perlembagaan negara yang memberi perlindungan kepada setiap anggota masyarakat di negara ini dari segi melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara . Selain itu, dapat memahami bagaimana negara ini mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 . Perlembagaan juga meletakkan rasa tanggungjawab dan kewajipan warga negara yang mendukungnya . Sejajar dengan itu, masyarakat harus menghormati, menghargai serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang penggubalannya bagi memastikan Malaysia terus aman, makmur dan maju dalam segenap bidang . Oleh sebab Perlembagaan Negara digubal berasaskan kesepakatan semua kaum di negara ini, maka ia merupakan kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat mana-mana pihak . Perlembagaan Negara juga adalah sumber rujukan kepada semua perkara berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio ekonomi rakyat  Malaysia . Mereka yang tidak memahami sejarah sahaja akan mempertikaikannya . Maka apabila pendidikan sejarah berjaya disampaikan kepada setiap penjuru individu hingga sampai kepada lubuk hati mereka , ia berjaya mewujudkan perpaduan dan masyarakat yang bersatu padu sekaligus membina sebuah Negara Bangsa .

            Pendidikan Sejarah juga mengajar kita supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah kita alami sebelumnya . Kita mengambil contoh bagaimana Pulau Pinang dirampas oleh British daripada Negeri Kedah dengan secara tidak disedari . Kedudukan Pulau Pinang di permulaan Selat Melaka telah membangkit minat Syarikat Hindia-Timur British untuk menggunakannya sebagai sebuah pelabuhan untuk kapal-kapal perdagangannya dan juga sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk menentang cita-cita orang Perancis di wilayah . Tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Jiwa, Francis Light telah membuat perjanjian pemberian perlindungan askar tanpa kebenaran Syarikat Hindia-Timur British. Apabila syarikat gagal dalam membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba mengambil kembali Pulau Pinang pada 1790. Malangnya , pencubaan itu gagal dan Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerah hak kepada SHTI dengan hanya bayaran kehormat sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun. Bayaran ini dinaikkan kepada 10,000 dolar kemudian , dengan penyerahan Seberang Perai (Province Wellesley) pada 1800. Sehingga hari ini, pembayaran diteruskan oleh kerajaan pusat Malaysia yang membuat pembayaran kepada negeri Kedah . Pada 1826, negeri Pulau Pinang, bersama-sama dengan Melaka dan Singapura, menjadi sebahagian Kawasan Penempatan Selat di bawah pentadbiran British di India . Kesimpulan daripada peristiwa tersebut telah menunjukkan bahawa kita perlu  menyelidik dahulu siapa sebenarnya orang yang sedang membuat perjanjian dengan negeri kita dan impak selepas membuat perjanjian supaya negeri atau negara kita sendiri tidak dianiaya seperti itu lagi . Tegasnya , iktibar dari peristiwa yang lepas penting dalam Pendidikan Sejarah supaya seluruh masyarakat  tidak mengulangi perkara hitam yang sama .  Oleh itu , perpaduan dan pembinaan masyarakat yang bersatu padu dapat dipupuk serta dapat membina Negara Bangsa apabila seluruh komuniti masyarakat berhati-hati dalam berhubungan dengan orang dalam dan orang luar yang cuba menjajah kita mahupun menjajah pemikiran dan Negara kita sendiri .

        Kesimpulannya , Pendidikan Sejarah mampu memupuk perpaduan dan menyatupadukan masyarakat yang bersatu padu dan membina Negara Bangsa kerana Pendidikan Sejarah sendiri mempunyai peristiwa-peristiwa sebelum dan selepas kemerdekaan serta mengandungi pelbagai iktibar dan pengalaman yang pahit sebelum Negara Malaysia menjadi aman sehingga kini . Saya berani menyatakan bahawa negara kita sendiri sudah terlihat tanda-tanda diskriminasi kaum selepas Pilihanraya Umum ke-13 . Akan tetapi ianya berlaku kepada mereka yang terlalu obses terhadap pemimpin-pemimpin yang mereka sokong sahaja . Perkara ini hanya berlaku semasa beberapa bulan sebelum PRU ke-13 berlansung dan beberapa minggu selepas PRU ini terlaksana . Setelah itu , keadaan menjadi seperti biasa semula , dan saya dapat lihat sendiri masyarakat sudah boleh bersatu semula amnya di kawasan perumahan saya sendiri. Saya juga berpendapat bahawa dengan bersatunya pelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia , perpaduan dan pembinaan masyarakat yang bersatu padu dan membina sebuah Negara Bangsa dapat dipupuk hasil dengan mempelajari dan menghayati Pendidikan Sejarah dengan mata hati . Umumnya , pembinaan perpaduan di Malaysia bermula selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang menyaksikan pertumpahan darah di antara kaum  . Ini telah membuka mata pelbagai pihak tentang kepentingan untuk menjaga sensitiviti yang terdapat dalam masyarakat majmuk . Menyentuh satu peribahasa yang sinonim dengan esei yang berkaitan perpaduan dan pembinaan Negara Bangsa iaitu ‘ bersatu kita teguh , bercerai kita roboh ‘ . Ianya bermaksud kita harus bersatu padu dengan pelbagai kaum agar muafakat dapat dicapai dan pergaduhan dan salah faham dapat dielakkan .



2 comments:

  1. Kepada point 4,kehapusan sekolah vernakular merupakan bencana untuk perpaduan Malaysia.Contohnya, singapura menggunakan pendidikan vernakular,tetapi tidak menghasilkan pengasingan antara rakyatnya,mala meraka dapat hidup bersama-sama secara aman.Perpaduan tidak menggunakan assimilasi budaya kaum untuk mencapainya,tetapi meresapkan budaya lain yang baik untuk semua orang.

    ReplyDelete
  2. Hard Rock Casino, Larcham, CA - MapyRO
    Hard Rock Casino, Larcham, CA. View real-time 여수 출장마사지 driving directions 바카라 사이트 to Hard Rock 제천 출장안마 Casino, Larcham, CA, based on live traffic 순천 출장안마 updates and road conditions – from 대전광역 출장마사지

    ReplyDelete