Tuesday, 10 September 2013

Sejarah Sosioekonomi sehingga 1970 : Sejauh mana hasrat perpaduan nasional dicapai menerusi Rancangan Pembangunan Ekonomi Lima Tahun

Menurut seorang penulis buku sejarah , Dr Ishak Saat (2009) ,beliau menyatakan dalam sesebuah masyarakat majmuk , tunjang perpaduan terletak kepada hubungan baik antara kaum . Bagi merealisasikan perpaduan dalam sesebuah masyarakat, kerjasama dan tolak ansur antara mereka amat penting demi memastikan kesejahteraan hidup dapat dikecapi . Malaysia merupakan sebuah negara yang paling istimewa sekiranya dibandingkan dengan negara–negara lain di dunia ini . Perpaduan nasional didefinisikan satu keadaan dimana rakyat daripada pelbagai kumpulan etnik dan agama serta wilayah hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada perlembagaan persekutuan dan Rukun Negara  . Tidak dapat dinafikan Rancangan Ekonomi lima tahun (1956-1970) iaitu fasa pertama dan merupakan satu titik permulaan untuk menyatupadukan rakyat .

           Selepas mendapat kemerdekaan , kerajaan telah meberi perhatian untuk melaksanakan rancangan pembangunan untuk mengatasi pelbagai masalah sosioekonomi yang diakibatkan oleh dasar penjajahan British (P.Sivarajan&S.Malar Arasi , 2012) . Oleh itu , kerajaan telah menggubal rancangan-rancangan pembangunan untuk mengatasi masalah sosioekonomi . Secara umumnya rancangan pembangunan lima tahun mempunyai tiga tujuan utama dan tujuan paling utama adalah untuk memperbetulkan ketidakseimbangan sosioekonomi yang wujud di antara kaum bagi memupuk perpaduan Negara . Hal ini kerana perpaduan kaum dapat dipupuk melalui satu aktiviti yang dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum iaitu Rancangan Pembangunan Ekonomi itu sendiri . Persoalannya , sejauh manakah rancangan ekonomi lima tahun (1956-1970)  berjaya memupuk perpaduan nasional?

            Menurut  Hj.Dr.Syed Ibrahim (2007) , pada peringkat awalnya , Rancangan Ekonomi Lima tahun tertumpu kepada pembangunan luar bandar . Pada lima tahun pertama , dari tahun 1956-1960 iaitu Rancangan Malaya pertama bermatlamat membangunkan sektor ekonomi luar bandar bagi merapatkan jurang perbezaan pendapatan antara penduduk luar bandar dan bandar dan mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar.  Rasional matlamat itu adalah untuk menyatupadukan masyarakat China dan India yang bekerja di bandar dalam sektor perladangan dan perlombongan dengan masyarakat Melayu yang bekerja di luar bandar agar pembangunan ekonomi dan perpaduan dapat dinikmati bersama . Lembaga Pembangunan Industri Desa (RIDA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) banyak membantu melicinkan matlamat Rancangan Malaya Pertama supaya perpaduan dapat dicapai antara kaum india,cina dan melayu . Menurut matlamat ini , ia lebih menyamatarafkan masyarakat di luar bandar dan bandar .Sebagai contoh, masyarakat bagi kaum india dan melayu lebih tertumpu dengan aktiviti ekonomi di luar bandar dan masyarakat kaum cina lebih tertumpu aktiviti ekonominya di bandar sebelum rancangan ini diusulkan dan dimulakan . Dengan menjalankan matlamat ini, ianya dapat menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum ketika itu sama ada yang miskin , kaya serta berlainan kaum atau kulit sekalipun kerana masyarakat yang menetap di luar bandar dan bandar disatukan melalui aktiviti ekonomi maka setiap kaum itu bersaing dengan cara yang sihat tanpa sikap pilih kasih, ia dilakukan dengan adil .Kebersanan Rancangan Malaya Pertama dapat dilihat apabila perkhidmatan kesihatan , pendidikan dan perhubungan  berjaya disediakan . Pokok pangkalnya , apabila menggunakan akal yang dianugerahkan tuhan , apabila perkhidmatan itu telah berjaya disediakan maka perpaduan terhasil antara pelbagai kaum . Hal ini kerana seluruh komuniti masyarakat itu akan menggunakan segala kemudahan bersama . Tapi malangnya , percapaian Rancangan Malaya Pertama kurang menggalakkan kerana ancaman menghadapi komunis Malaya seperti semasa darurat ,duit pada ketika itu banyak disalurkan kepada tentera dan harga getah dan biji timah turun.

            Tumpuan utama Rancangan Malaya Kedua(1961-1965) adalah untuk menyediakan lebih banyak kemudahan asas dan menggalakkan kepelbagaian ekonomi di kawasan luar bandar . Matlamat rancangan tersebut adalah untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar , menambah peluang pekerjaan , mempelbagaikan pertanian dan perusahaan dan memperbanyakkan kemudahan sosial . Dua strategi pelaksanaan diperkenalkan melalui rancangan ini . Strategi pertama ialah menggalakkan penyertaan rakyat dalam perancangan program pembangunan dan pelaksaan dan strategi kedua ialah perancangan program oleh kerajaan berdasarkan permintaan masyarakat tempatan .Apabila matlamat seperti menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat diusulkan dan berjaya dilakukan ketika itu , pelbagai kaum disatukan ketika bekerja dan dalam pada masa yang sama kemiskinan berjaya dibasmikan dengan hasil titik peluh mereka yang dibayar dengan sejumlah wang . Selain itu , apabila pihak kerajaan menyediakan badan-badan yang mengalakkan masyarakat majmuk itu tadi terlibat dalam aktiviti ekonomi , mereka akan berusaha untuk menjalankan aktiviti ekonomi tersebut dengan bekerjasama dengan masyarakat lain . Sekali lagi , hasrat perpaduan nasional tidak mampu dicapai sepenuhnya kerana matlamat yang ditumpukan terhadap bidang ekonomi tidak begitu memuaskan akan tetapi , hasrat untuk mencapai perpaduan nasional masih diteruskan .

             Dengan kemasukan Negeri Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 , Rancangan Pembangunan Negara telah diasaskan pada tahun 1963, Rancangan Pembangunan Negara telah diasaskan pada satu rancangan bersepadu .Dalam Rancangan Malaysia Pertama(1966-1970) ini beberapa matlamat telah dirangka dan perbaharuan telah dibuat . Rancangan Malaysia Pertama merupakan rancangan yang memastikan semua program pembangunan mengutamakan kesejahteraan rakyat dan lebih tertumpu kepada memesatkan pembangunan ekonomi dalam perindustrian , perusahaan dan perdagangan . Bank Bumiputera juga ditubuhkan untuk mendorong penyertaan bumiputera .Apa yang kita dapat lihat dan perhatikan adalah kerajaan berusaha memastikan semua program pembangunan yang dijalankan berlangsung secara am dan kesejahteraan rakyat diutamakan . Pihak kerajaan yang turut membantu adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Nasional Berhad  (PERNAS),  Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian (MARDI) dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (FELCRA).

               Malangnya pada Rancangan ekonomi yang berlangsung pada (1966-1970) iaitu pada 13 Mei 1969. Berlaku peristiwa rusuhan kaum yang telah mengancam ketenteraman dan keamanan Negara akibat pebezaan ideologi selepas pilihanraya umum dan menyebabkan banyak harta benda musnah . Masalah perpaduan dicapai semuanya berpunca daripada dasar british ketika menjajah Tanah Melayu .Ketiga-tiga golongan penduduk  utama dan terbesar ini iaitu melayu, cina dan india bukan sahaja ditempatkan di tempat yang berbeza malah  jenis pekerjaan dan ekonomi yang berbeza .Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan , didapati orang cina pula menguasai bidang perniagaan dan bidang ekonomi yang lain . Golongan bumiputera terus bimbang kerana takut menjadi miskin di tanah air sendiri manakala orang cina dan india bimbang akan syarat-syarat hak kerakyatan mereka . Walaupun dasar perpaduan yang khusus tidak wujud di zaman penjajahan , namun rakyat di Negara ini tetap dapat hidup dengan aman . Namun begitu , keamanan tergugat dengan tercetusnya salah faham di antara kaum iaitu peristiwa hitam 13 Mei 1969 . Peristiwa tersebut berlaku selepas Pilihanraya 1969 dimana Parti Perikatan telah mendapat kemenangan dengan majoriti yang kurang memuaskan walaupun cukup untuk membentuk kerajaan .Parti-parti pembangkang yang mendapat kemenangan dan bilangan kerusi yang bertambah telah merayakan kemenangan mereka sambil berarak di Kuala Lumpur sambil menghina orang Melayu . Penghinaan itu telah menyebabkan orang Melayu melakukan tindak balas dan telah mencetuskan pergaduhan sehingga ramai yang terkorban dan kerosakan harta benda . Kesan dari peristiwa tersebut menandakan Malaysia memerlukan satu dasar perpaduan yang membolehkan mereka hidup bersama .

Dan pada ketika itu , Majlis Gerakan Negara mengambil alih pentadbiran Negara bagi mengembalikan keamanan , melicinkan pentadbiran dan mengembalikan keharmonian kaum .Majlis Perundingan Negara turut membincangkan isu perpaduan Negara ketika itu dan menekankan pembentukan ideologi Negara iaitu Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 0gos 1970. Bermula daripada itu semua kaum dapat disatukan , dan hasrat perpaduan nasional yang diimpikan Malaysia mula dicapai ketika itu .Pada tahun 1970 juga , kerajaan telah melancarkan Dasar Ekonomi Baru dan pada tahun yang sama kerajaan telah bertindak tegas terhadap penggunaan Bahasa Melayu sebagai satu wasilah untuk mengekalkan perpaduan .
               Kemakmuran Malaysia pada hari ini hasil daripada satu proses sejarah yang panjang dan penuh dengan kisah-kisah yang menyulitkan .Selain itu , kita dapat lihat perpaduan yang wujud di Malaysia pada hari ini sesungguhnya merupakan sebuah nikmat kebahagiaan yang telah melalui satu jalan  yang agak mendukakan antara masyarakat peribumi dengan bukan peribumi. Proses ini mengambil masa yang agak panjang melalui Rancangan Ekonomi Lima  tahun daripada (1956-1970). Melalui proses sejarah yang dilalui oleh negara kita , maka hari ini kita boleh lihat  keutuhan perpaduan nasional di Malaysia terdiri daripada bangsa Melayu, Cina , India dan bangsa lain . Kedatangan penjajah telah membawa bangsa lain di sini dan menyebabkan lama kelamaan bangsa ini telah berkembang dan beranak pinak sehinggalah zaman penjajahan berakhir . Justeru itu, ada di antara mereka memilih untuk pulang ke negara asal dan tidak kurang pula yang ingin terus menetap disini dan menjadi warganegara Tanah Melayu ketika itu .

               

No comments:

Post a Comment