Sunday, 1 September 2013

HANG TUAH

ASSALAMUALAIKUM :)
- TERPULANG KEPADA ANTUM UNTUK MENJAWAB SOALAN ANA .
-BAIKLAH , ANA NAK CERITA MENGENAI PENULISAN KRITIKAL TERHADAP HANG TUAH , TAPI INI HANYA PENDAPAT DAN BUKAN FAKTA YANG TEPAT .
GAMBAR INI BUKAN SUMBER YANG TEPAT UNTUK WAJAH HANG TUAH

                Bagi ulasan saya yang pertama adalah mengenai penulis artikel ini iaitu Dr Haron Mat Piah . Beliau sudah terlibat dalam penulisan melayu klasik dan dia  juga mengambil ijazah sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia . Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pensyarah di Institut Bahasa ,kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di UKM . Dan beliau pernah membuat penyelidikan dalam sastera Melayu Klasik sehingga mendapat lulusan Ijazah Phd di UKM . Jadi wajarlah artikel yang dibuat oleh beliau mengenai Hikayat Hang Tuah ada kebenarannya kerana dia sudah lama dalam bidang ini dan mengetahui fakta yang benar dan yang salah dan mampu memahami buku-buku penulisan sastera lama seperti Hikayat Hang Tuah(versi tulisan jawi) . Akan tetapi , kritikan tetap kritikan , saya juga mahu memberi pendapat dan ulasan saya secara kritikal mengenai artikel ini dan perkaitannya dengan dua sumber yang penting mengenai kisah Hang Tuah seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulatus Salatin .

             Bagi ulasan saya yang kedua adalah mengenai sumber sejarah yang berkait rapat dengan Hang Tuah dan ia adalah sumber kedua yang merupakan satu-satunya sumber bertulis yang agung iaitu Hikayat Hang Tuah . Pengarangnya memulakan ceritanya dari zaman Kerajaan Keinderaan di Bukit Seguntang . Dari dinasti inilah dinyatakan bahawa kerajaan Melayu di Singapura dan di Bentan dan di Melaka memperoleh raja . Lalu berikutanlah berbagai-bagai cerita mengenai kepahlawanan Hang Tuah berlima saudara di Majapahit , di Inderapura (Pahang) dan di Melaka sendiri dan kemudian mengenai pengembaraan Hang Tuah ke Benua Keling , ke Benua China , ke Benua Thai , dan ke Turki. Cerita diakhiri dengan kejatuhan Kota Melaka ke tangan Feringgi dan kemudian ke tangan Belanda (Kassim Ahmad ,1997 ).

                 Beberapa daripada peristiwa-peristiwa ini disebut dalam Sejarah Melayu , tetapi pengarang hikayat ini tidak memperdulikan tatatertib sejarah itu sendiri . Adakah rasional sekiranya zaman agung Majapahit antara tahun 1331-1364 disamakan dengan zaman agung Melaka antara tahun 1456-1511 ? (Kassim Ahmad , 1997) . Secara rasionalnya , ia tidak memperdulikan fakta bahawa manusia tidak dapat hidup selama-lamanya . Hang Tuah tidak mati , dan Raja Melaka, Bendahara dan Temenggung yang hidup dari tarikh Melaka didirikan kira-kira pada tahun 1403 sampai tarikh jatuhnya Melaka pada tahun 1511 , kematian mereka tidak disebut , seolah-olah mereka tidak mati . Sedangkan hayat manusia likungan 60 hingga 70 tahun . Tidak mungkin hayat hidup Hang Tuah panjang sehingga dia mampu bertahan selama 180 tahun . Sedangkan di dalam artikel hanya menyebut bahawa Hang Tuah hidup pada tiga zaman pemerintahan sahaja dari tahun 1456-1511 . Mengapa pengarang seperti Tun Sri Lanang mengaitkan kisah kepahlawan Hang Tuah dan lima bersaudara sejak tahun 1331-1364 sedangkan Hang Tuah hidup pada sekitar tahun 1456-1511 ? Beliau merupakan pengarang yang hebat , sepatutnya beliau meneliti dahulu masa dan rentetan peristiwa yang berlaku . Ada kemungkinannya bahawa Hang Tuah panjang umur tetapi kita masih kekurangan bukti mengenai tempoh hayat hidupnya .Pada pendapat saya , Hang Tuah itu sudah meninggal dunia kerana secara rasional Hang Tuah tak mungkin hidup lagi sehingga kini dan buktinya kuburnya di muzium Hang Tuah sebagai sumber pertama . Kubur Hang Tuah dikatakan sebagai sumber pertama kerana kubur adalah satu bahan yang asas dan mentah . Kemungkinan ada diantara ahli sarjana yang mempertikaikan kubur Hang Tuah kerana pada akhir cerita dalam Hikayat Hang Tuah diceritakan bahawa Hang Tuah lari ke Johor dan menerima bantuan daripada Belanda untuk mengalahkan Portugis di Melaka . Menurut Dr Haron Mat Piah (2012) .Setelah itu , nama Hang Tuah tidak disebut lagi kerana ada yang menyatakan dia berkemungkinan menetap di Hulu Perak dan menjadi raja kepada segala orang hutan serta kepada seluruh biduanda . Persoalannya , adakah kubur di Muzium Hang Tuah itu palsu , kenapa Pengarang yang hebat  seperti Tun Sri Lanang tidak menceritakan apa yang berlaku dengan Hang Tuah pada akhirnya dan penjelasan tentang saat-saat akhir hayat Hang Tuah .

             Di dalam artikel juga ada menyebut bahawa Hang Tuah memiliki ciri-ciri keperwiraan seperti bijaksana . Kononnya dia seorang yang memiliki segala macam ilmu seperti ilmu agama , ilmu bahasa , ilmu guna-guna , ilmu dalam menggunakan lembing dan keris dan sebagainya.Sekiranya Hang Tuah begitu hebat dalam memiliki segala macam ilmu , adakah dia menggunakan akal yang diberi oleh tuhan kepadanya dengan sebaik mungkin ? Ketika Hang Tuah begitu taat kepada rajanya , dia tidak menggunakan ilmu agama yang dituntut . Hal ini disedari apabila Hang Tuah taat kepada rajanya yang tidak adil , sedangkan agama menuntut kita taat kepada raja yang adil . Menurut sumber bertulis daripada Hikayat Hang Tuah , bahawa Hang Tuah sanggup membunuh Hang Jebat kerana taatnya kepada raja . Dalam masa yang sama dia tidak sedar bahawa Hang Jebat hendak menyelamatkan dia daripada raja itu .Itu yang sedang diceritakan artikel bahawa baiknya Hang Tuah dan betapa jahatnya Hang Jebat . Rakyat ketika itu juga sudah menyarankan kepada Hang Tuah supaya dia berhak untuk membantah untuk melakukan perkara yang jahat yang disuruh oleh raja .

                Seterusnya adalah mengenai pemberontakan Hang Jebat . Memanglah ada masalah dalam dalam pemberontakan Hang Jebat. Mengapakah daripada awal-awal lagi Hang Jebat tidak membunuh raja tetapi hanya menunggu sambil berfoya-foya dengan dayang-dayang istana dan gundik-gundik raja? Mengapa kemudian dia mengamuk dan membunuh ramai rakyat Melaka yang tidak berdosa . Walaubagaimanapun , ia bukan soalan utama . Soalan utamanya adalah , “Adakah pembelaan Hang Jebat terhadap Hang Tuah adil atau tidak ?”Jawapan yang positif tentang kedudukan Hang Jebat sudah pasti  Hang Jebat harus dihukum mati atas amukan terhadap rakyat Melaka yang telah dibunuh olehnya tanpa memperdulikan sesiapun . Dalam hal ini , Hang Jebat semestinya salah kerana dia tidak berpuas hati kepada raja , lalu dia pergi berfoya-foya dengan gundik raja . Daripada dia membunuh manusia yang tidak bersalah beramai-ramai kenapa dia  tidak membunuh raja yang hanya seorang itu . Saya berpendapat bahawa Hang Jebat ketika itu berada dalam keadaan fikiran yang kurang waras . Selepas Hang Jebat membunuh rakyat Melaka , menurut buku yang telah saya baca , Hikayat Hang Tuah ,  Hang Tuah membantu memberikan air kepada Hang Jebat yang sudah berlumuran darah di badannya . Akhirnya , Hang Jebat mati di atas riba Hang Tuah dan raja pada ketika itu terharu kerana rakyatnya beribu-ribu mati kerana silapnya sendiri .

          Didalam artikel ini terdapat banyak persoalan yang ditanya oleh pembaca misalnya soalan yang bakal saya ulas , soalannya adalah “adakah panggilan Hang hanya diberikan kepada seorang perwira ? . Pada pendapat saya , panggilan “Hang” adalah kebiasaan pada ketika dulu berikutan kehidupan Hang Tuah suatu masa dahulu . Fakta tentang kewujudan Hang Tuah melalui urutan peristiwa yang terakam dalam historiagrafi melayu yang ulung iaitu Sulatus Salatin dan Sejarah Melayu . Melalui karya tersebut , kita dapat mengetahui serta menganalisis tempoh hayat Hang Tuah dalam tiga zaman pemerintahan daripada pemerintahan Sultan Mansor Syah hinggalah ke zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah . Semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah , telah disebut akan kewujudan sembilan orang yang ternama pada masa itu iaitu Hang Tuah , Hang Jebat , Hang Lekiu , Hang Kesturi dan sebagainya . Dan ketika itu juga terdapat panggilan Hang lain kepada rakyat biasa . Ini membuktikan bahawa panggilan hang hanyalah kebiasaan pada ketika itu dan tiada langsung kena mengena dengan Hang Li Po iaitu puteri China yang disebut dalam karya ini .      
       
          Tidak kurang juga di laman sosial dan di internet yang menyatakan Hang Tuah berasal dari China dan telah diislamkan . Mereka turut menyatakan bahawa nama sebenar Hang Tuah adalah Hang Too Ah . Setakat ini tiada lagi penemuan bukti bahawa Hang Tuah berasal dari China . Sekiranya Hang Tuah berasal dari China , mana datangnya penemuan fakta bahawa Hang Tuah lahir di Sungai Duyung seperti mana petikan yang terdapat dalam artikel yang dipetik sendiri dalam Hikayat Hang Tuah .Sekiranya Hikayat Hang Tuah telah diolah ianya mustahil kerana buku itu dalam tulisan jawi dan bahasa melayu klasik dan sukar pun difahami . Saya mengulas dengan menggunakan kritikan luaran iaitu ujian bahasa . Cara yang saya gunakan ialah saya membandingkan bahasa yang digunakan dalam Hikayat Hang Tuah yang merupakan tulisan jawi lama dan bahasa melayu klasik yang begitu lain daripada bahasa melayu kini . Persoalannya kini ,bagaimana kajian secara hipotesis sahaja boleh membuktikan sesuatu? Hipotesis tidak boleh menjadi fakta , ia perlu dibuktikan dahulu . Adakah Hang Tuah telah di Melayukan ?Saya berani menjawab bahawa Hang Tuah memang orang Melayu . Adalah sia-sia sahaja untuk memelayukan Hang Tuah. Lebih baik pengarang Hikayat Hang Tuah memelayukan Maharaja Ming atau Laksamana Cheng Ho , sudah tentu ini akan menjadi satu kemegahan yang tersangat dahsyat . Memang ada kemungkinan bahawa Hikayat Hang Tuah ada yang di tokok tambah akan tetapi secara logiknya mustahil seorang pengarang terkenal untuk memutarbelitkan kisah Hang Tuah . Pada masa kini ,tiada lagi bukti bahawa Hang Tuah berasal daripada bangsa China dan telah diMelayukan . Apabila mengkritik sesuatu fakta , kita harus memastikan sumber dengan mengkritik melalui kritikan dalam dan luar . Kritikan yang dimaksudkan bukan untuk membantah atau mengutuk Hang Tuah akan tetapi kita harus mengesan sumber melalui beberapa cara . Bukannya mentafsir kisah Hang Tuah tanpa menggunakan ilmu kefahaman mengenai sumber .

          Menurut pemahaman saya mengenai Hang Tuah ketika membaca beberapa artikel . Semasa Hang Tuah bertugas di istana Melaka sebagai laksamana , Hang Tuah membunuh seorang pahlawan Jawa yang dikenali sebagai Taming Sari. Taming Sari merupakan seorang anak buah Empayar Majapahit yang telah dihadiahkan dengan sebilah keris kuno yang dipercayai boleh menyebabkan pemiliknya kebal. Keris itu dinamai Taming Sari sempena pemiliknya yang asal. Hang Tuah kemudian dituduh kerana berzina dengan dayang Sultan, dan suatu  keputusan serta merta dibuat untuk menghukum mati Hang Tuah yang tidak bersalah itu . Bagaimanapun  , hukuman mati itu tidak dilaksanakan, dan sebagai ganti, Hang Tuah dihantar ke suatu tempat yang tersembunyi oleh Bendahara. Mempercayai bahawa Hang Tuah telah mati, Hang Jebat (menurut Hikayat Hang Tuah) atau Hang Kasturi (menurut Sejarah Melayu), melancarkan pemberontakan balas dendam terhadap Sultan Mansur Shah, dan menyebabkan keadaan kelam-kabut di kalangan penduduk .Di sini juga saya ingin mengulas , perbezaan watak dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah adalah orang menjalani pemberontakan apabila mendengar khabar mengenai kematian Hang Tuah adalah Hang Jebat dan Hang Kesturi . Kini saya yakin bahawa Hang Jebat yang menjalani pemberontakan kerana pada akhir hayat Hang Jebat , Hang Jebat ingin membela Hang Tuah dengan ingin membunuh raja dan apabila tidak dapat membunuh raja dia membunuh rakyat yang begitu ramai jumlahnya .

                Menurut Hikayat Hang Tuah lagi , Sultan Mansur Shah berasa sesal tentang hukuman mati Hang Tuah , kerana Hang Tuah merupakan orang kanannya yang berupaya membunuh Hang Jebat . Akhirnya, Bendahara memanggil  balik Hang Tuah daripada persembunyiannya, dan diampun oleh Sultan. Selepas berlawan selama tujuh hari, Hang Tuah berjaya membunuh Hang Jebat dan mendapat balik keris Taming Sarinya . Hang Tuah meneruskan khidmatnya kepada Sultan Mansur Shah selepas kematian Hang Jebat . Pada  akhir hayat hidupnya, beliau diutuskan meminang seorang puteri yang tinggal di puncak Gunung Ledang . Beliau gagal dalam tugas itu . Menurut petikan daripada Hikayat Hang Tuah yang diambil oleh penulis artikel juga , dia menerangkan bahawa disebabkan perasaan malu itulah Hang Tuah hilang dan namanya serta apa yang berlaku terhadap dia tidak diceritakan lagi tapi menurut artikel Hang Tuah kononnya lari ke Hulu Perak dan menjadi raja kepada seluruh orang hutan dan biduanda .

              Begitulah ulasan saya secara kritikal mengenai artikel yang dikaitkan dengan sumber yang sedia ada di dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu . Kesimpulannya disini , artikel ini memetik beberapa petikan di sumber bertulis tersebut mengenai ciri guru sepanjang hayat yang ada pada Hang Tuah dan kehidupannya serta tempoh masa yang dilalui oleh Hang Tuah sehingga dia terkenal sebagai Pahlawan Melayu . Sekiranya Hang Tuah tidak wujud , bagaimana pula boleh timbul cerita mengenai Hang Tuah . Akan tetapi bergantung kepada pemahaman individu terhadap seluruh entiti riwayat hidup Hang Tuah . Pada akhir ulasan ini , saya ingin memberi sedikit pengajaran yang saya dapati . Pengajaran yang pertama ialah , kita harus mentaati pemimpin selagi mana pemimpin menjalankan tugasnya dengan adil dan tidak zalim . Pengajaran yang kedua ialah kita hendaklah menghormati Sejarah Melayu dan tidak menyangkal sesuatu fakta tanpa bukti yang kukuh contohnya ada juga pihak yang menulis di blog dengan menyatakan Hang Tuah bukan lahir di Tanah Melayu . Seterusnya ialah , kita perlu untuk memahami konsep sumber agar kita dapat menafsir sesuatu fakta melalui kritikan dalam dan luar dengan baik .

No comments:

Post a Comment