1.0 Pendahuluan
Pelepasan sisa pembakaran
ke udara dalam kadar yang tinggi boleh menyebabkan proses sebaran atau serakan
udara tidak berupaya mencampur dan mengangkut bahan pencemar secara efektif .
Akibatnya , wujud fenomena pencemaran udara seperti jerebu di wilayah berkenaan
. Bahan pencemar yang meningkat kepekatannya akibat kelemahan proses serakan
udara boleh memberi impak negatif khususnya kepada kesihatan manusia
(williamson 1973) dan juga kesihatan ekosistem fizikal (Sham 1980).
Umumnya , punca pencemaran
udara di sesuatu kawasan boleh dikaitkan dengan dua sumber iaitu sumber
tempatan dan sumber luaran . Sumber tempatan yang paling ketara termasuklah
kenderaan bermotor , tapak pelupusan sampah , kilang Industri dan juga
tapak pertanian(JAS 1989). Sumber luaran
pula bermaksud pergerakan sumber pencemar yang merentas sempadan Negara
Malaysia dan membentuk episod jerebu yang dasyat terutamanya di kawasan
berdekatan pinggir pantai dan tanah rendah . Episod jerebu merentas sempadan
ini boleh dikatakan telah menjadi satu ‘fenomena tahunan’ di Malaysia khasnya
di bulan-bulan kering .
Selain itu , perubahan
kadar kepekatan bahan pencemar banyak juga bergantung kepada faktor tempatan
seperti aktiviti penggunaan kenderaan bermotor . Secara teorinya . pada waktu
pagi dan waktu petang didapati kenderaan bermotor menjadi punca utama
peningkatan bahan pencemar di atmosfera peringkat rendah di kawasan Bandar . Di
samping itu , hari-hari kerja iaitu Isnin hingga Jumaat banyak menghasilkan
bahan pencemar udara berbanding dengan Hari sabtu dan Ahad . Fakta ini terbukti
benar hasil kajian yang telah dilakukan dikawasn Kuala Lumpur-Petaling
Jaya(Sham&Shaharudin 1976) .
2.0 Isu jerebu
Pada Jun 2013 , berlaku
fenomena jerebu sekali lagi di Malaysia akibat pembakaran hutan yang tidak
terkawal di Kalimantan, Indonesia . Hal ini telah menyebabkan Negara yang
berdekatan dengan Indonesia umumnya Singapura dan Malaysia terkena tempiasnya .
Fenomena jerebu paling teruk berlaku di Singapura dan Negeri Johor . Hal ini
telah menggusarkan ramai pihak umumnya pelajar sekolah dan IPT yang perlu untuk
menyambung pembelajaran di tempat masing-masing . Justeru , pihak atasan
seperti Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengarahkan sekolah-sekolah berkenaan
ditutup buat sementara waktu khususnya di Johor .
Pencemaran
udara di Malaysia khususnya episod jerebu mempunyai pertalian kuat dengan
kehadiran titik panas yang dicerap imej satelit di Pulau Sumatera, Indonesia.
Kajian lepas telah menunjukkan kehadiran musim kering yang berpanjangan kesan
daripada amalan pembakaran terbuka di kawasan pertanian luas di Sumatera
menjadi faktor penyebab dan penggalak episod jerebu di Malaysia . Oleh itu ,
kerajaan cuba menganalisis bencana jerebu terhadap manusia dan alam sekitar di
Malaysia . Tidak terlepas juga untuk menganalisis bencana jerebu bulan Ogos
2005 dan Jun 2013 . Sebenarnya , pergerakan angin barat daya yang lemah telah
memburukkan keadaan jerebu di Pantai Barat , Semenanjung Malaysia . Dapatan
awal ini menunjukkan terdapat kebiasaan perubahan kepekatan pencemar akibat
perubahan arah dan kelajuan angina lazim barat daya semasa episode berkenaan .
3.0Konsep jerebu
Jerebu dengan pencemaran
udara mempunyai kaitan yang amat rapat . Sebenarnya , apabila kita melakukan
aktiviti pelepasan karbon dioksida terlalu banyak seperti asap kenderaan ,
kilang dan pembakaran terbuka , ia menyebabkan pembebasan karbon dioksida
terlalu banyak di atmosfera sehinggakan tumbuh-tumbuhan tidak mampu untuk
menyerap karbon dioksida yang terlalu banyak untuk menghasilkan proses
fotosintesis dengan lancar . Oleh itu , ia adalah penyebab berlakunya jerebu di
Negara Malaysia kita . Sejak zaman dahulu lagi isu jerebu yang berpunca
daripada pencemaran alam sekitar ini telah menjadi bahan wacana masyarakat .
Hal ini disebabkan oleh impak pembangunan dari segi kualiti hidup dan ia
sering dikaitkan dengan faktor pencemaran , contohnya kajian impak pembangunan
terhadap kualiti kehidupan di bandar Kuala Lumpur. Hal ini kerana proses kehidupan
di bandar lebih terdedah kepada risiko impak
pembangunan yang negatif berbanding di kawasan luar bandar. Malah,
bandar merupakan pusat tamadun manusia yang memerlukan pemantauan tahap kualiti
hidup yang berterusankerana terdapat pelbagai masalah alam sekitar yang
mengiringi setiap pembangunan, salah satunya ialah masalah jerebu . Jerebu
boleh didefinisikan sebagai kehadiran sesuatu bahan asing di dalam udara selain
daripada kandungan udara tulen dan bersih yang boleh membawa kesan buruk kepada
manusia dan juga tumbuhan termasuk berbagai jenis binatang. Contohnya jelas sekali dengan
apa yang berlaku kini di Malaysia adalah fenomena berulang selepas jerebu yang
berlaku pada 0gos 2005 dan mempunyai faktor yang sama iaitu pembakaran terbuka
yang telah membebaskan begitu banyak gas beracun ke atmosfera .
Cara kita nak mengenal
jerebu adalah asap jerebu baunya seperti asap kebakaran , dan sangat busuk .
Selain itu , cuacanya agak panas akibat lapisan ozon yang mulai nipis akibat
tidak dapat manampung gas beracun yang terlalu banyak . Selain itu ,
penglihatan kita mulai kabur kerana asap jerebu mampu menutupi seluruh awan dan
persekitaran kita . Apabila kita menyedari mengenai hal ini , kita seharusnya
memakai topeng pelindung mulut secara konsisten agar tidak menghidu asap jerebu
dan menghindarkan diri kita daripada mendapat sebarang penyakit .
4.0 Faktor berlakunya jerebu di
peringkat global
Sebenarnya, masalah jerebu
berpunca daripada kegiatan manusia sendiri iaitu pertamanya melalui pambakaran
hutan secara besar-besaran tanpa menimbangkan kesan terhadap alam sekitar. Contohnya, asap tebal hampir menjadi masalah
tahunan kepada Singapura dan Malaysia, selalunya bermula pada pertengahan tahun
apabila peladang di Indonesia membersihkan ladang secara murah dengan
membakarnya. Maklumat daripada ASEAN
Specialised Meteorological Centre (ASMC) juga menunjukkan lingkaran asap jerebu
dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia hingga ke
selatan Pantai Barat Semenanjung.
Keadaan ini telah menyebabkan Malaysia mengalami masalah jerebu yang
membimbangkan.
Selain itu, faktor yang memburukkan
lagi keadaan ialah tindakan masyarakat yang melakukan pembakaran secara
terbuka tanpa kawalan sehingga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran
terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah
sarap atau bahan buangan sama ada individu ataupun pemilik kilang. Contohnya,
sesetengah anggota masyarakat melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan
rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke
tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Begitu juga
pemilik kilang kain, papan dan sebagainya bertindak membakar sendiri bahan
buangan kilang mereka. Mereka tidak betanggungjawab
dan tidak mengambil kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu sedikit
demi sedikit membawa kepada masalah jerebu.
Mereka juga tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan
berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan
yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini mengakibatkan asap
dilepaskan ke udara dan mengakibatkan jerebu.
Tambahan pula, peningkatan jumlah
kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah
mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah
kenderaan di jalan raya dan telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua
tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan
keadaan jerebu bertambah parah kerana kenderaan tidak bergerak tetapi
mengeluarkan asap yang mencemarkan udara.
Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap
yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di
atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa
lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi
tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.
Seterusnya, pengeluaran asap yang
tidak terkawal dari kawasan perindustrian seperti kawasan perindustrian yang
menggunakan minyak dan arang batu turut menjadi punca utama jerebu. Sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang
dilepaskan ke udara dan telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak
sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap
untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang
dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan
udara menjadi berjerebu. Situasi ini
bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap
yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Contoh kawasan perindustrian ialah di Lembah
Klang.
5.0Kesan akibat daripada jerebu
Memang tidak dinafikan
juga, fenomena jerebu mendatangkan kesan negatif terutama terhadap tahap
kesihatan rakyat di negara kita.
Antaranya ialah, jerebu boleh menjejaskan kesihatan rakyat terutamanya
sistem pernafasan dan boleh menyebabkan penyakit asma, sakit kerongkong,
selesema, batuk, nemonia dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan
jantung. Hal ini berlaku kerana jerebu
menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi semakin rendah. Oleh itu bilangan golongan tua dan
kanak-kanak yang jatuh sakit berkaitan dengan sistem pernafasan telah meningkat
mendadak akibat jerebu dan terpaksa menerima rawatan di hospital atau di
klinik.
Selain itu, kesan jerebu juga boleh mengurangkan jarak penglihatan .
Keadaan ini berlaku disebabkan oleh komponen-komponen yang ada di dalam jerebu
berupaya menyerap dan menyerakkan cahaya matahari . Hal ini amat menakutkan kerana risiko
kemalangan boleh berlaku seperti kapal terbang dan kapal laut atau kenderaan di
jalan raya menjadi semakin besar . Hal
ini pernah terjadi pada kisah fenomena jerebu pada Ogos 2005 dimana kemalangan
berlaku akibat asap jerebu yang terlalu tebal . Keadaan ini amat membahayakan
keselamatan rakyat kerana kemalangan boleh mengakibatkan kemusnahan harta
benda, kecederaan dan kehilangan nyawa.
Tambahan pula, aktiviti harian
masyarakat turut terjejas akibat masalah jerebu. Apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada
di tahap tidak sihat atau membahayakan, sebarang bentuk aktiviti luar tidak
digalakkan. Contohnya, di kawasan-kawasan
yang dilanda jerebu, banyak sekolah terpaksa ditutup demi menjamin kesihatan
pelajar. Program-program dan acara luar
seperti sukan, dibatalkan. Keadaan ini
menunjukkan bahawa masalah jerebu telah mengganggu aktiviti harian masyarakat
di negara kita . Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor
ekonomi negara turut terjejas akibat fenomena jerebu yang berlaku di Malaysia .
Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri
perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan dan
kesihatan pekerja-pekerja . Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang
perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif lain untuk mencari
pendapatan buat sementara waktu .
Asap jerebu pula biasanya hilang
selepas hujan turun. Namun begitu, hujan yang turun selepas fenomena jerebu
berlaku akan memberikan kesan sampingan yang berpunca daripada hujan asid.
Hujan ini seterusnya akan merosakkan tanaman dan tumbuhan, meningkatkan nilai
keasidan tanah dan air sekaligus mengganggu keseimbangan dalam ekosistem
seperti ekosistem akuatik, ekosistem hutan dan ekosistem muara . Hal ini telah
menyusahkan petani umumnya kerana harus mengusahakan semula pertanian mereka
agar kembali normal . Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan
negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam
akibat jerebu . Sumber pendapatan negeri-negeri yang berasaskan industri
pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan merosot kerana industri pelancongan
terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah
dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku
di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa
melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas
akibat jerebu.
6.0 Langkah-langkah serta usaha yang
telah dilakukan oleh Malaysia bagi mengatasi masalah jerebu
Beberapa buah negeri telah
dikenal pasti sebagai negeri yang paling teruk terjejas akibat jerebu
terutamanya negeri Johor . 491 buah
sekolah di beberpa daerah di Johor terpaksa ditutup . Beberapa lapangan terbang juga ditutup
manakala penerbangan dari Senai, Johor dijadual semula . Paling membimbangkan, pesakit yang berkaitan
pernafasan meningkat dengn mendadak .
Persoalannya, apakah langkah-langkah mengatasi masalah yang menjadi duri
dalam daging bagi negara kita .
Memang tidak
dinafikan, tindakan segera untuk
menghentikan pembakaran hutan secara terbuka dan secara besar-besaran
diperlukan. Tindakan secara kolektif dengan penggunaan alat pemadam api yang
canggih dan saintifik boleh membantu mengurangkan masalah jerebu. Di samping
itu juga undang-undang ketat perlu dikenakan terhadap pihak atau syarikat
tertentu yang sengaja membakar hutan untuk tujuan pertanian.
Selain itu, bahan pencemaran
udara haruslah dikurangkan untuk mengelakkan masalah jerebu di negara kita.
Kesesakan lalu lintas menambahkan karbón dioksida, karbón monoksida dan
sebagainya yang menambahkan keadaan berjerebu. Oleh yang demikian, bilangan
kenderaan yang menggunakan jalan raya , khususnya di kawasan-kawasan yang
terlibat seperti Kuala Lumpur haruslah disekat atau dikurangkan . Seterusnya , jerebu boleh dihilangkan dengan usaha
pembenihan awan bagi menurunkan hujan . Hujan adalah pembersih udara semula
jadi yang terbaik . Pihak Jabatan Alam Sekitar telah bekerjasama dengan Puncak
Niaga Sdn. Bhd telah melakukan beberapa siri pembenihan awan khususnya di sekitar
Lembah Klang dan negeri Selangor .
Tambahan pula, masalah jerebu
juga boleh dikurangkan dengan menggunakan Indeks Pencemaran Udara (IPU) untuk
mengenal pasti kawasan yang bermasaalah dan mengambil tindakan susulan untuk
mengatasi masalah jerebu. Pembacaan indeks haruslah dilakukan dari semasa ke
semasa agar usaha mengehadkan kilang-kilang daripada pengeluaran asap atau gas
yang berlebihan dapat diatasi . Masalah jerebu juga boleh diselesaikan melalui
persepakatan bersama antara negara jiran dan pada peringkat global diperlukan
untuk menangani masalah alam sekitar . Kerjasama boleh dilakukan dari segi
perlindungan alam sekitar secara kolektif dan kajian saintifik dan kajian
saintifik digiatkan untuk menangani masalah ini.
Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat
Malaysia haruslah berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu di
Malaysia, “bagai aur dengan tebing.” Sekiranya masalah ini dipandang mudah atau
enteng , nyawa modal insan negara kita akan menjadi “seperti telur di hujung
tanduk.” Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan segera,
lama-kelamaan kesan buruknya akan menjadi berpanjangan dan berkekalan serta
sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan berasa menyesal tetapi “sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi”.
Antara
usaha yang telah dilakukan oleh Malaysia umumnya Pihak Kementerian telah
menghantar Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar , Datuk Sri G Palanivel ke
Indonesia serta membincangkan cara menyelesaikan masalah jerebu . Dalam
pembincangannya bersama kerajaan Indonesia ,
Malaysia bersedia membantu Indonesia dalam mengatasi masalah jerebu yang
berlaku akhir-akhir ini . Selain itu , kerajaan telah menyeru kepada semua
rakyat Malaysia dalam menjaga alam sekitar terutamanya persekitaran udara
supaya masalah jerebu tidak berulang lagi .
7.0 Penutup
Isu
pencemaran alam sekitar ini iaitu isu jerebu merupakan satu masalah besar yang
berlaku di peringkat Antarabangsa . Jerebu merupakan isu pencemaran udara yang
telah menjadi satu kebiasaan di Negara Malaysia umumnya . Jerebu juga merupakan
satu masalah yang memberi kesan negatif serta impak yang besar kepada Negara
kita . Masalah jerebu
telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi menyelesaikan masalah
jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bekerjasama dalam mengatasi
masalah tersebut, sama seperti kata orang-orang tua, “berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing” . Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan
masalah jerebu daripada berlaku lagi. Sekiranya Malaysia bebas daripada
belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia dapat berkembang maju
dalam semua bidang .
Kesimpulannya, semua pihak perlu
berganding bahu “bagai aur dengan tebing” untuk mengatasi masalah jerebu
ini. Usaha ini sangat penting demi
menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. sebelum terlambat, sebelum nasi menjadi
bubur, , pihak kerajaan terutamanya perlu mengorak langkah drastik bagi
mengatasi masalah jerebu ini dari terus-menerus menghantui negara kita. Rakyat yang sihat merupakan tonggak utama
untuk memastikan kemajuan negara kerana 'Rakyat Sihat Negara Maju' .
No comments:
Post a Comment